Kisah
benar ini telah diceritakan oleh seorang pengurus jemaah haji dan
umrah, ketika peristiwa itu umur beliau dalam lingkungan 20 tahun dan
masih menuntut di Universiti Al-Azhar. Kebetulan ketika itu beliau balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.
Beliau menetap di Mekah sejak 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarganya semua menetap di Mekah, kecuali beliau seorang saja yang mana sebelum ini tinggal dengan neneknya di Perak. Walaupun di usia yang muda ketika itu, beliau ditugaskan oleh bapanya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan beliau adalah anak sulung dalam keluarganya.
Sama-samalah kita hayati kisah ini untuk renungan bersama.
Gambar hiasan – Kan cantik kalau pramugari bertudung.. |
Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah sambil
menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai
pengalaman menarik dan pelik. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak
peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan
sampai bila-bila. Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di
pertengahan 30-an, dikatakan bekerja sebagai seorang pramugari. Kejadian
itu berlaku semasa saya menguruskan satu rombongan haji.
Ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah
kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali
pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik sampai, saya membawa mereka
menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di Madinah,
semua orang turun dari bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi
seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit. Tetapi tanpa
sebarang sebab, sebaik sahaja kakinya mencecahkan bumi Madinah,
tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri. Sebagai orang yang
dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke
arah wanita berkenaan. “Jemaah ni sakit” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.
Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Jemaah ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya, kita bawa dia ke hospital,” kata saya.
Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke Hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing. Sampai di Hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal.
Sehinggalah
ke petang, wanita itu masih lagi koma. Sementara itu, tugas
mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan
wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan
menguruskan jemaah, saya menghubungi Hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut. Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri.
Selepas
dua hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas,
maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi
seperti itu. Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka
wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding Hospital Madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil.
Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital King Abdul Aziz,
saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma.
Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat keadaannya itu,
saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas
dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut
matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Tapi
sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya
dengan erat sambil menangis teresak-esak.
Sudah
tentu saya terkejut sebab saya ni bukan mahramnya. Tambahan pula kenapa
saja dia tiba-tiba menangis?? Saya bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa Puan menangis?”
“Ustaz….saya taubat dah Ustaz. Saya menyesal, saya takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Saya bertaubat, betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni puan tiba-tiba saja nak bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu.
Seketika
kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan
demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua.
Katanya,
“Ustaz, saya ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih.
Tapi saya silap. Saya ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja.
Ibadat satu apa pun saya tak buat. Saya tak sembahyang, tak puasa, semua
amalan ibadat saya dan suami saya tak buat. Rumah saya penuh dengan
botol arak. Suami saya tu saya sepak terajang, saya pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.
“Habis yang puan pergi haji ini?”
“Yalah…saya tengok orang lain pergi haji, saya pun teringin juga nak pergi.”
“Jadi apa sebab yang puan menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang puan alami semasa sakit?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan,
“Ustaz…Allah
itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, saya telah
diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang
telah saya buat selama ini.”
“Betul ke puan?” tanya saya, terkejut.
“Betul
Ustaz. Semasa koma itu saya telah ditunjukkan oleh Allah tentang
balasan yang Allah beri kepada saya. Balasan azab Ustaz, bukan balasan
syurga. Saya rasa seperti diazab di neraka. Saya ni seumur hidup tak
pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut saya ditarik dengan bara
api. Sakitnya tak boleh nak saya ceritakan macam mana pedihnya.
Menjerit-jerit saya minta ampun minta maaf kepada Allah.”
“Bukan
itu saja, buah dada saya pula diikat dan disepit dengan penyepit yang
dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini… putus, jatuh ke
dalam api neraka. Buah dada saya rentung terbakar, panasnya bukan main.
Saya menjerit, menangis kesakitan. Saya masukkan tangan ke dalam api
itu dan saya ambil buah dada tu balik.”
Tanpa
mempedulikan pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu
terus bercerita. Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti,
24 jam sehari. Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau
dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan
azab yang amat pedih. Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang
makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya,
“Hari-hari
saya diseksa. Bila rambut saya ditarik dengan bara api, sakitnya terasa
seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula menyebabkan otak saya
terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih…pedih yang amat
sangat…tak boleh nak diceritakan.”
Sambil
bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia
betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu. Saya pula terpegun,
kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah
kepada umatnya yang ingkar.
“Ustaz…saya ni nama saja Islam, tapi saya minum arak, saya main judi dan segala macam dosa besar.” Kerana
saya suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak
sedarkan diri itu saya telah diberi makan buah-buahan yang berduri
tajam. Tidak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri sahaja, tapi saya
perlu makan buah-buah itu sebab saya betul-betul lapar.
“Bila
ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong saya dan
bila sampai ke perut, ia menikam pula perut saya. Sedangkan jari yang
tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk
kerongkong dan perut kita.”
“Habis
saja buah-buah itu saya makan, saya diberi pula makan bara-bara api.
Bila saya masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan saya
rasa seperti terbakar hangus. Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api
yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya.”
“Selepas
habis bara api, saya minta minuman, tetapi… Saya dihidangkan pula
dengan minuman yang dibuat dari nanah. Baunya cukup busuk. Tapi saya
terpaksa minum sebab saya sangat dahaga. Semua terpaksa saya
lalui…azabnya tak pernah rasa, tak pernah saya alami sepanjang saya
hidup di dunia ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.
“Masa
diazab itu, saya merayu mohon kepada Allah supaya berilah saya nyawa
sekali lagi, berilah saya peluang untuk hidup sekali lagi. Tak
berhenti-henti saya memohon. Saya kata saya akan buktikan bahawa saya
tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Saya berjanji tak akan ingkar
perintah Allah dan akan jadi umat yg soleh. Saya berjanji kalau saya
dihidupkan semula, saya akan tampung segala kekurangan dan kesilapan
saya dahulu, saya akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama
ini saya tinggalkan.”
Saya
termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung
dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada
balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita
terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak.
Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.
“Ini
bukan mimpi ustaz. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu
sekali. Saya bertaubat Ustaz, saya tak akan ulangi lagi kesilapan saya
dahulu. Saya bertaubat… saya taubat Nasuha,” katanya sambil menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia
menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak henti-henti.
Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma
akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.
“Puan…yang
puan sembahyang teruk-teruk ni kenapa. Puan kena jaga juga kesihatan
diri puan. Lepas sembahyang Isyak tu puan baliklah, makan nasi ke,
berehat ke…” tegur saya.
“Tak apalah Ustaz. saya ada bawa buah kurma. Bolehlah saya makan semasa saya lapar.”
Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia
mengqadakan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu. Selain itu
dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan
melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan
yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan
supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
“Tak
boleh Ustaz. Saya takut…saya dah merasai pedihnya azab tuhan. Ustaz tak
rasa, Ustaz tak tau. Kalau Ustaz dah merasai azab itu, Ustaz juga akan
jadi macam saya. Saya betul- betul bertaubat.” Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya,
“Ustaz, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Ustaz
ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung, jagalah aurat dengan sempurna.
Cukuplah
saya seorang saja yang merasai seksaan itu, saya tak mau wanita lain
pula jadi macam saya. Semasa diazab, saya tengok undang-undang yang
Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja
diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan mahramnya, maka dia
diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan mahram tengok sehelai
rambut saya ini, bermakna saya mendapat 10 dosa.”
“Tapi
Ustaz, rambut saya ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang
tengok rambut saya, ini bermakna beribu-ribu dosa yang saya dapat. Kalau
10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau
hari-hari kita tak pakai tudung macam saya ni??? Allah…”
“Saya
berazam, balik saja dari haji ini, saya akan minta tolong dari ustaz
supaya ajar suami saya sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Saya nak
ajak suami pergi haji. Seperti mana saya, suami saya tu Islam pada nama
saja. Tapi itu semua kesilapan saya. Saya sudah bawa dia masuk Islam,
tapi saya tak bimbing dia. Bukan itu saja, saya pula yang jadi seperti
orang bukan Islam.”
Sejak
balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita
tersebut. Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang
benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya
diazab semasa koma?
Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat Nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadith.
Adakah ia bercanggah? Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak
dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan
pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib?
Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa “Oh… memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal…” Itu dah terlambat.
Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.” (Asy-Syuura 42:18)
0 komentar:
Posting Komentar