Susuk
adalah satu istilah, yang merujuk kepada pemakaian atau penggunaan
bahan-bahan tertentu yang digunakan secara batin, yang juga dikenali
sebagai “ilmu rahsia diri,” untuk tujuan-tujuan tertentu yang
kebanyakannya lebih mengkhusus untuk keperluan diri.
Ada
orang yang menggunakan susuk supaya kelihatan cantik dan orang ramai
suka memandangnya, untuk memikat seseorang, mengekal kasih seorang
suami, supaya disayangi oleh majikan dan teman-teman sekerja.
Selain
untuk tujuan di atas, susuk digunakan, dikatakan untuk menghindarkan
diri daripada gangguan orang yang dengki, daripada sihir, digunakan
untuk pelaris bagi mereka yang terlibat dengan perniagaan, yang
dilakukan oleh pengusaha kedai makanan, oleh pelakon-pelakon,
penyanyi-penyanyi agar diminati oleh penonton atau orang ramai, malah
susuk juga ada digunakan oleh pelacur agar sering dihuni oleh pelanggan.
Ada
juga susuk yang digunakan supaya badan menjadi kuat, kebal tidak lut
senjata, untuk penggerun, penunduk dan lain-lain tujuan, yang ada kaitan
dengan ilmu kebatinan, termasuk susuk yang digunakan untuk menguatkan
tenaga batin.

Setiap
susuk digunakan menurut kaedah yang digunakan oleh orang-orang tertentu
yang terlibat melakukannya, yang menggunakan bahan-bahan tertentu
menurut keperluan, yang selalunya disusuli dengan kaedah-kaedah khusus,
juga pantang larang yang berlainan yang mesti diikuti, tidak boleh
dilanggar sama sekali.
Bahan
susuk yang popular dan digunakan oleh kaum wanita ialah susuk daripada
bahan emas, berlian atau intan. Susuk jenis ini dimasukkan di bahagian
muka disertai dengan cara-cara tertentu termasuk jampi mantera.
Dipercayai
dengan berbuat demikian, muka akan menjadi cantik berseri, seperti
sifat emas, intan atau berlian, bersinar dan menambat hati orang-orang
tertentu, atau setiap orang yang memandangnya.
Susuk
jenis ini juga dikenali sebagai “susuk pengasih” di mana caranya ialah
dengan memasukkan susuk, iaitu serbuk emas ke muka, atau menusuk emas ke
pipi kanan dan kiri. Sebelum diperlakukan sedemikian rupa, air ramuan
yang terdiri daripada pelbagai bahan termasuk beberapa kuntum bunga
direndam selama sepuluh hari. Bahan ini disimpan dalam molor (bekas
kaca). Setelah tiba tempoh air itu dituang sedikit ke dalam piring
seramik dan sebutir emas tulen diasah sehingga sebati dengan air tadi.
Sedikit
kapas digunakan untuk menggaulkan ramuan dan kemudian ditutup untuk
beberapa ketika sehingga air dan bahan tadi terserap dalam kapas. Bedak
sejuk bersama ramuan yang terserap pada kapas disapu ke pipi dan seluruh
muka sehingga kering. Orang yang berkenaan tidak boleh mandi
sehinggalah esok hari.
Ketika
ini, ramuan susuk telah menyerap sebati dalam kulit. Pemakai susuk
dikehendaki berbedak sedikit sebelum keluar rumah, yang didahului dengan
bacaan jampi yang diajar oleh orang yang memasukkan susuk tadi.
Kaedah
lain ialah dengan menanam dua butir emas sebesar biji sawi melalui
kaedah batin di kedua-dua belah pipi, sebutir di pipi kanan dan sebutir
lagi di pipi kiri. Ia dilakukan pada waktu malam ketika bulan mengambang
dengan cara-cara tertentu, yang disertai dengan jampi mantera.
Perbezaan pada wajah seseorang itu dikatakan boleh berlaku pada keesokan
harinya.
Bahan
susuk lain ialah jarum emas, yang dimasukkan dalam tubuh dengan kaedah
batin juga. Semakin banyak bilangan jarum yang dimasukkan, dipercayai
akan lebih berkesan hasilnya. Jarum-jarum ini dimasukkan di bahagian
muka, buah dada dan bahagian kemaluan. Kebanyakan pelacur gemar
memasukkan susuk di bahagian kemaluan dan buah dada, bertujuan supaya
buah dada sentiasa tegang dan sentiasa segar melayani pelanggan, serta
dapat memberi kepuasan.
Tidak
dapat dipastikan secara khusus bahawa susuk boleh menyebabkan muka
seseorang itu pastinya lebih cantik, tidak makan tua, tidak berkedut,
digeruni, dikasihi, menjadi kebal tidak mampan senjata atau tenaga batin
menjadi kuat, tetapi apa yang jelas amalan susuk, atau yang berkaitan
dengannya adalah termasuk dalam kategori amalan yang melibatkan sihir,
iaitu melibatkan iblis dan syaitan, ataupun jin-jin.
Amalan
susuk adalah rahsia, yang tidak didedahkan kepada umum, untuk difahami
rahsia-rahsianya. Tidak dapat diterima oleh akal, bagaimana seseorang
yang dimasukkan pada mukanya, serbuk berlian, serbuk emas, jarum emas
dan sebagainya, di bahagian kening, bawah dagu dan sebagainya
menyebabkan muka seseorang itu dilihat begitu cantik, termimpi-mimpi
waktu tidur dan berkhayal ketika hendak lelap.
Semuanya
tidak akan berlaku pada pengamatan umum. Tetapi ia boleh berlaku dengan
penglibatan iblis dan syaitan, di mana dengan adanya iblis syaitan yang
dipanggil menggunakan jampi mantera dan serapah dan sebagainya
menyebabkan apa yang dilihat oleh manusia itu boleh berubah.
Mata
manusia boleh terpesong atau tersihir, akibat penglibatan iblis dan
syaitan itu menyebabkan sesuatu yang buruk, yang normal itu kelihatan
cantik, seperti yang berlaku ke atas mereka yang dimasukkan susuk.
Itulah
di antara ciri sihir di mana sesuatu yang berlaku itu sebenarnya bukan
hakikat, tetapi tipu daya belaka atau “khayali,” yang tidak dapat
difikir oleh akal manusia, bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku,
yang diistilahkan sebagai “khariqu `l-adah” (mencarik adat atau berlaku
di luar adat kebiasaan).
Jelasnya
pandangan yang cantik, menawan, menakutkan atau menggerunkan
menyebabkan orang yang memandang itu tunduk berlaku kerana adanya
penglibatan iblis dan syaitan.
Setiap
perbuatan atau tindak-tanduk yang disertai atau disokong yang disertai
oleh makhluk ini, ia dikategorikan dalam amalan sihir. Sihir termasuk
dalam kategori amalan dosa-dosa besar yang boleh membawa syirik, satu
dosa yang tidak diampuni.
Fenomena
seperti ini sama seperti yang berlaku di kalangan pemain silap mata,
yang mencari nafkah di tepi-tepi jalan atau di tempat pertunjukan
eksklusif. Di tepi jalan raya pemain silap mata menusukkan pisau tajam
menembusi leher kanak-kanak yang dibawa bersama dengannya, yang dilihat
dengan jelas oleh mata zahir.
Tidak
lama selepas itu, selepas pertunjukan itu tamat, kanak-kanak tadi
kelihatan berlari-lari atau mengemas barangan yang ada padanya tanpa ada
bekas luka atau darah di lehernya. Apa yang berlaku bukan hakikat,
tetapi mata melihat jelas adanya tusukan pisau di leher.
Berdasarkan
keterangan ini saya berkeyakinan bahawa apa yang berlaku ke atas
saudari, di mana muka saudari kelihatan begitu cantik, hinggakan kawan
sesama perempuan pun begitu terpesona dengan kecantikan tadi.
Perantaraan
Tidak
mustahil apa yang berlaku hasil daripada susuk yang dimasukkan dalam
diri saudari, di bahagian muka ketika berumur 25 tahun, biarpun saudari
tidak memahami apa perlunya diperbuat demikian. Inilah yang berlaku
kepada sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan
yang menggunakan atau melibatkan jin-jin.
Penggunaan
bunga-bunga pelbagai warna, bahan-bahan yang terdiri daripada jarum
emas, serbuk intan berlian dan sebagainya itu hanya perantaraan
semata-mata, dijadikan iktibar atau lambang, tidak lebih daripada itu.
Betapa
indahnya bunga, menawan dan disukai ramai, baik lelaki dan perempuan,
maka begitulah ibaratnya pandangan manusia kepada orang yang menggunakan
bahan tadi. Begitu juga dengan penggunaan bahan-bahan lain, yang
terdiri daripada serbuk emas atau jarum emas, tidak lebih daripada itu.
Faktor
utama melahirkan keberkesanan atau natijah yang berlaku pada diri
saudari ialah penglibatan jin-jin dalam proses memasukkan bahan susuk
dalam tubuh tadi, di mana proses tersebut dikategorikan sebagai proses
kebatinan.
Bahan
tadi digosok-gosokkan pada bahagian tertentu pada tubuh, lalu bahan
tadi meresap hilang menyerap dalam tubuh atau muka. Selain daripada itu
jampi mantera juga digunakan. Rangkaian kata ini menjadi perantaraan
untuk memanggil datang makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada
jin-jin.
Adapun
amalan atau bacaan yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran,
zikir-zikir ataupun amalan-amalan lain yang dilakukan oleh orang yang
memasukkan susuk atau orang yang dimasukkan susuk hanya merupakan
unsur-unsur Islam yang diselit-selitkan di celah-celah amalan kebatinan
Melayu, yang sama sekali tidak memperlihatkan atau membuktikan bahawa
amalan susuk itu salah satu daripada ajaran Islam.
Walaupun
demikian apa yang berlaku iaitu dengan adanya unsur-unsur Islam tadi,
ia menjadi satu alasan untuk menyatakan bahawa penggunaan tersebut
membuktikan amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam, salah
satu daripada usaha yang dilakukan selaras dengan kehendak Islam.
Demikianlah kecelaruan yang wujud dalam amalan kebatinan Melayu, apabila
unsur-unsur Islam itu diselit-selitkan dalam budaya hidup manusia.
Allah
memberi amaran, seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa syaitan
itu adalah musuh yang nyata bagi orang yang beriman. Dalam keadaan apa
sekalipun, makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh, tidak kira sama
ada makhluk jin ini boleh menyebabkan seorang itu kelihatan cantik,
muka sering berseri, disukai ramai, dipandang manis digeruni, badan
menjadi kebal atau tujuan-tujuan lain, untuk kepentingan diri sendiri
atau untuk ramai.
Makhluk
ini, dalam keadaan apa sekalipun hendaklah dianggap sebagai musuh.
Orang yang memasukkan susuk dalam tubuh, dengan cara yang dijelaskan,
adalah orang yang mengundang, memasukkan makhluk iblis dan syaitan dalam
tubuh. Sayangnya manusia menjadi keliru apabila meneliti amalan zahir
yang dimasukkan dalam tubuh ialah serbuk intan berlian atau jarum emas,
padahal Allah memberi amaran supaya setiap orang itu menjauhkan diri
daripada makhluk ini.
Allah
meminta setiap orang itu memohon perlindungan kepada-Nya, memang ada di
kalangan manusia yang memohon perlindungan daripada syaitan dan
sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan sesuatu, selain daripada lebih
menyesatkan.
Tidak
mudah bagi syaitan itu menguasai diri seseorang, tetapi apabila syaitan
itu diundang masuk, meresap dalam diri seperti melalui amalan susuk,
maka bagi syaitan itu jalan-jalan yang luas lagi mudah lalu akhirnya ia
akan menyesatkan, menyakiti jasad manusia itu hasil daripada kesilapan
diri manusia itu sendiri, biarpun hanya untuk bersuka-suka mengikut apa
yang dilakukan oleh kawan ini.
0 komentar:
Posting Komentar